Sunday, November 11, 2007

SAYANGKAN ISTERI

Selingkar kisah kehidupan dalam masyarakat yang mungkin boleh menjadi pedoman atau hanya dianggap sebagai gurauan semata. Ianya boleh dilihat dari sudut yang berbeza.

Pak Mat adalah seorang penduduk sebuah pondok di Selatan Thailand. Pada pertengahan bulan Mei yang lalu isterinya yang bernama Maznah telah meninggal dunia kerana diserang penyakit jantung. Pak Mat yang berusia menjangkau empat puluhan telah diperhatikan oleh jiran-jirannya agak luar biasa iaitu beliau telah pergi ke kubur isterinya sebanyak tiga kali sehari.

Pak Mat pergi pada waktu pagi, tengah hari dan petang untuk menyiram kubur isterinya lebih dari dua minggu secara berterusan. Ada setengah dari jiran dan penduduk tempatan beranggapan Pak Mat begitu cintakan isterinya.

Seorang saudaranya yang terdekat telah berkata, "Awak ni terlalu sangat cintakan isteri sehingga sanggup berbuat demikian, yang mana tak ada siapa lagi di kampung ini buat begitu". Pak Mat menjawab,

"Sebenarnya sebelum Maznah hendak hembuskan nafas yang terakhirnya, beliau telah berpesan kepada saya, kalau hendak kahwin pun tunggulah sehingga rumput di kuburnya tumbuh dahulu. Oleh yang demikian saya terpaksa siram kuburnya supaya rumput cepat tumbuh".

Komen:
Tak salah rasanya jika seorang suami begitu menyayangi isterinya. Dan tak salah juga bagi seorang suami menyayangi isteri2nya. Namun apa pun dalam kehidupan ini kasih dan sayang tak akan boleh diberi sama rata. Mungkin ada yang kurang dan lebihnya. Yang pertama mana mungkin sama dengan yang kedua. Kedua mungkin lebih hebat dari yang pertama.
Renung-renungkanlah......